Disini saya selitkan sedikit perkongsian tentang Jubah dan Serban daripada Ustaz Ibnu Batoota Owsem (UIBO) . Sungguh, dulu saya juga berfikiran sama, kerana selalu sangat ditusuk telinga dengan kata-kata " Alaa... kalau pakai jubah dan serban tak boleh nak dekati orang muda. Takut orang kafir tak mahu ikut kita."
Allah! ikut cara nabi pasti ada hikmah dan barakah.. InsyAllah artikel(status fb sebenarmya) akan merubah hati saya dan antum.. Semoga bermanfaat, insyaAllah. :)
~Jubah Serban~
Sempena Maulud Nabi yang mulia, jom kita baca cerita pengalaman saya tentang pakaian dan mahkota Rasulullah...
Sejak saya mula mendalami Islam, pakaian kegemaran saya ialah jubah, kain pelikat, kopiah dan serban.
Saya mendapat tahu bahawa ia pakaian kegemaran Rasulullah yang baginda pakai sampai wafat. Oleh sebab itu saya juga berazam untuk terus pakai pakaian Rasulullah sampai saya mati Insya-Allah.
-Pengalaman Indah dan pahit bersama pakaian Rasulullah-
1) Dulu ketika di Malaysia, pada tahun 2006, saya pernah join satu gerakan Islam yang saya tak mahu dedahkan namanya. Mereka ada buat usrah mingguan. Tapi saya selalu "bergaduh" dengan ketua-ketuanya sebab mereka tak suka saya pakai jubah dan lain-lain ni.
Mereka mahu saya pakai baju tshirt buatan mereka dan mengatakan ianya "strategi dakwah" sebab kononnya kalau kita pakai jubah serban, orang tak mahu dekat dengan kita dan akan berlaku jurang dalam masyarakat.
Jadi mereka mahu saya berpakaian seperti yahudi nasrani kerana ia merupakan pakaian umum umat Islam pada hari ini khususnya di Malaysia.
Mereka juga beralasan ianya tidak sunnah tapi sekadar adat orang Arab. Mereka banyak terpengaruh dengan ajaran Wahabi kerana Wahabi gemar membidaahkan segala-galanya, tapi bila kita amal pemakaian sunnah, mereka dakwa ia bukan sunnah tetapi cuma adat.
Sedangkan Saidina Ibn Umar pernah ditanya apakah memakai serban itu sunnah? Beliau menjawab Ya.
Di dalam banyak hadis khususnya riwayat Tirmizi banyak menceritakan bahawa pemakaian kegemaran Rasulullah ialah jubah/gamis/kurta.
Saya mulanya merasa ragu dengan hujah-hujah mereka yang kelihatan "bernas" dan hampir-hampir saya tidak lagi memakai pakaian Rasulullah dan mencukur janggut saya.
Tapi Allah telah ilhamkan saya untuk solat hajat dan solat istikharah untuk meminta petunjuk apakah benar jalan yang saya ikut ini.
Pada malam tersebut, penghujung tahun 2007, asbab daripada solat hajat dan istikharah itu, saya telah bermimpi akan Rasulullah yang datang menziarahiku di dalam sebuah rumah. Saya tak berniat nak cerita lebih tentang perkara ini, yang penting mesejnya sampai bahawa hujah-hujah mereka salah.
Akhirnya saya meninggalkan gerakan Islam itu dengan berkata kepada mereka bahawa selamanya mereka tidak dapat hapuskan kecintaan kepada Rasulullah dari hati dan badan saya.
2) Saya mula mengembara ke banyak negara pada tahun 2008 dan saya tetap dengan pakaian Rasulullah ke mana sahaja saya pergi. Bahkan sampai berlubang terkoyak, saya tampal dan pakai semula terutamanya sehelai jubah putih yang paling saya sayangi. Sebabnya, dah ramai badan-badan ulama diseluruh dunia sentuh jubah tu tatkala mereka memeluk saya. Jadi walaupun jubah tu dah koyak rabak, saya tetap tampal dan pakai kerana nur di jubah tu yang luar biasa dan sentiasa membuka kefahaman saya setiap kali saya membaca kitab-kitab agama sambil memakai jubah itu.
3) Pernah sekali pada tahun 2009 saya ditahan di airport India sebab disangka "terorist". Saya jawab dengan mudah:
"Jika semua yang berjubah, berserban, berjanggut itu dianggap terrorist oleh kalian, tentulah terrorist sebenar tak akan masuk airport pakai pakaian macam ini sebab mereka tahu mereka pasti ditangkap. Mereka tentu menyamar dan tidak mengiklankan diri bahawa mereka itu terrorist."
Akhirnya mereka lepaskan saya kerana mati hujah.
4) Pada tahun 2011 di Afrika Selatan, saya pergi shopping barang-barang keperluan di sebuah supermarket bersama bapa angkat saya yang merupakan salah seorang ahli jemaah tabligh di sini. Nama beliau uncle Ismail Hafeeje, tinggal di Xavier Street, pinggir Johannesburg. Ketika itu kami berdua memakai pakaian Rasulullah. Sampai di tempat parking kereta, penjaga parking yang merupakan seorang Kristian dan bergaya ala rasta telah menegur kami berdua. Katanya dari jauh dia lihat kami sangat berbeza dari orang lain (sebab kami berdua je yang berjubah putih waktu tu), seolah-olah ada nur yang memancar dan nur itu betul-betul tenangkan hati dia.
Kemudian dia tanya macam mana dia nak join club kami? Saya pun jawab ini bukan kelab tapi kami sebenarnya orang Islam. Saya pun terangkan tentang Islam. Dan dia minta ajarkan cara nak masuk Islam. Saya ajarkan dia kalimah, dan dia pun ucap kalimah. Maka menangislah para syaitan seluruhnya kerana seorang lagi menerima Islam hanya kerana nur yang terpancar daripada amalan pemakaian Rasulullah.
5) Pada tahun 2013, ketika bidadari saya dikejarkan ke hospital kerana darah turun (untuk bersalin), hospital kerajaan South Afrika di Soweto yang bernama Baraghwanath telah memberikan bilik wad khas kepada bidadari saya kerana menghormati beliau yang memakai purdah sedangkan pesakit lain diberikan wad umum yang terbuka dan tidak tertutup. Walaupun itu hospital Kristian, tapi mereka memberikan layanan istimewa kepada pemakai pakaian isteri Rasulullah. Bahkan mereka meletakkan sekuriti wanita supaya tiada lelaki yang masuk termasuklah doktor lelaki. Hanya doktor perempuan sahaja dibenarkan masuk ke bilik tersebut.
Note: Selamat Hari Lahir Ya Rasulullah...
Demi Allah selagi daku punya nyawa,
Akan ku bawa agama ini ke seluruh dunia,
Kerana ku mahu kau yang mulia,
Memelukku kelak dengan penuh bangga.
Sekali-kali tidak daku akan tunduk pada pihak lawan,
Sekali-kali tidak daku akan sujud pada zaman,
Samada agama ini mendapat kejayaan,
Atau badan aku yang hancur berkecai di dalam perjuangan.


No comments:
Post a Comment