Wednesday, 25 December 2013

:: Akhiri duka itu...::



Hati dingin kian berkaca..
Terlalu mudahkah ianya untuk dibaca...?
Kerana biarpun beribu aksara menyusun kata..
Masih tidak mampu aku menguntum sebuah makna..
Arhh... aku sendiri tidak mengerti...
Permainan dusta apa yang sedang menari??!!
Jika merpati itu telah aku lepaskan..
Mengapa kedua sayapnya masih ku simpan?..

Bukan pantai itu sebagai ubat..
Kerana tiap kali datangnya larian ombak,
Aku basah..
Walau sejauh mana aku menapak..
Aku tetap basah..
Bayu itu sentuhan ketenangan..
Tapi kenapa aku masih disini?
Aku tahu damai itu telah kau temui..
Cuma disini...
Hanya tinggal aku yang masih menanti...









Monday, 23 December 2013

:: Semalam yang indah ::




      Indahnya saat saya memandang sekeliling.. hati saya sarat dengan perasaan indah dan gembira dengan suasana ini... sangat-sangat buatkan kita terfikir dan insaf..para pencinta Rasulullah indah dengan pakaian sunnah mereka. Lilitan kemas dikepala, berjubah putih dibadannya, dan berkain rida' di atas bahu-bahu mereka..sang bidadari pula cantik menutup segala perhiasan.. walaupun sesetengahnya tidak berniqab.. subhanallah! Cantik menutup aurat dengan sempurna.. Dimanakah lagi saya akan ketemukan suasana seindah ini ... ? Semalam yang indah.. kenapa perlu berlalu dengan mudah?  Beribu-ribu pencinta Al-Mustofa berkumpul memuji-muji Allah serta berselawat kepada baginda di Stadium Malawati,Shah Alam dan bersama-sama juga adalah Habib Syech Assegaf dan beberapa habaib yang lain..Sebagai khatam majlis, dihidangkan tausiah dari Al-habib Najmuddin Al-Khered yang menceritakan bagaimana haiwan-haiwan mencintai dan kenal akan diri Rasulullah s.a.w... Berkali-kali beliau ajukan soalan.. rasa-rasa cukup sempurnakah kecintaan kita kepada Rasulullah? 
      Semoga diizinkan oleh Allah untuk bertemu lagi dengan taman syurga seperti ini... 

Nota dari hati:

Wahai kerinduanku..
Tiada cahaya dalam gelap..
Yang lebih gembirakan jiwa kami..
Daripada cahaya wajahmu ya Al-mahi...
Kerana engkau ya sayyidi...
Pengubat jiwa kami..
Penyembuh bagi hati-hati..
  اللهم صل على محمد وعلى آله وأصحابه






Sunday, 22 December 2013

:: keberangkatan ::

Assalamualaikum...


Keberangkatan ini adalah kegembiraan...Keberangkatan ini adalah keberangkatan menyambut seruan para pencinta Alhabib Muhammad s.a.w ! Semoga musafir ini selamat sampai ke destinasi.. Habib syech aku datang ! :)




Wednesday, 18 December 2013

:: Ada apa pada sendiri... ::





Semakin lama ku rasa terbiasa dengan kesendirian..
Tidak lumpuh menikmati hidup..
Kerana aku masih mempunyai dua kaki untuk berdiri..
Dua tangan sebagai nadi..
Kelubung hitam yang ku jadikan besi..
Kemana saja ku bebas berlari..
Dimana jua, ku bebas menari..
Jiwa ini terkadang rapuh  ..
Terkadang ikatan itu terbuka dari tali yang kukuh,..
Untuk apa kegembiraan jika tidak membuatkan hatimu utuh..
Lebih baik diteruskan saja tangisan itu..
Kerana tangisan terkadang adalah guru..
Desir angin mematikan kerisauan..
Erat rapat mata ku terpejam..
Menanti sepasang tangan..
Yang mungkin bisa membawa aku pergi..
Pergi jauh dari hidup yang basi..
Hidup basi yang aku benci...

Air hujan melepaskan tangis
Telapak tanganku terbuka lirih..
Merasai nikmat yang terhampar,..
Pada mulanya takut aku akan basah..
Namun kini  kaki mula menapak,
Terpelahan aku membuka mata..
Beranikan diri menari di dalam gerimis ,
Merasai duka juga sebagai kasih....
Kerana nikmat dan duka tiada parak..
Datangnya jua dari Allah Maha Hebat,
Wahh... hebatnya percaturan Allah !
Dari lembah busuk ku terdampar..
Dicampak pula dalam mekar haruman mawar..
Aku bukan lagi hamba hukuman manusia!
Ahh.. pedulikan pandangan mata-mata mereka !
Bukan pada mereka ku merayu redha..
Tuhan jua hamparan daku bermanja..
Jadi aku buat apa aku suka !
Asalkan...
Kasih Tuhan sentiasa bersama...


















tanpa

Tuesday, 17 December 2013

:: Dia waliku... ::


-Sekadar Hiasan-


Dia pernah ku salah erti..
Kasih sayangnya pernah kurasa basi..
 Cintanya tersembunyi ku rasa mati..
Kalam lembutnya ku rasa sangsi...
Kasih cintanya ku likup tuli...

Dia yang memerhati dalam senyap..
 Langkahku diperhati dari sayap tingkap..
 Terlalu buta mataku untuk melihat..
 Setinggi mana cintanya terpahat...
 Untuk diriku bergelar anak.... 

Dia waliku bermuram duka...
Melihat tingkahku berpaling ke neraka..
Dia waliku mustahil berpejam mata..
Sedaya upaya memaut sedaya apa...
Agarku tak terjatuh dalam murka Tuhannya... 

Dia waliku yang ku sayangi....
Buah cintanya kufahami kini.. 
Marahnya dia bukan kerana benci... 
Tutur kalamnya bukan sekadar meleteri..
Namun disarat dengan kasih sejati....

Dia waliku yang ku cintai...
Cinta tulusmu  membuka pintu...
Terselit doaku saban waktu...
Aksara kasih melimpah sendu...
Juga berjanji aku pada dirimu...
Sedaya aku turuti telunjukmu...
Kerana hati aku mengerti padu...
Telunjuk itu rembesan telunjuk nabiku.....




Monday, 16 December 2013

:: Kenapa dia dihalau..?. ::

-Sekadar Hiasan-


Dia dengan baju lusuhnya berjalan  dengan harapan... demi si anak yang belum menjamah  walau sebutir nasi., si ibu pacakkan seribu benteng pada wajahnya.. mengemis, meminta... berjalan dari kedai ke kedai.. namun dihalau setiap kalinya...

Wahai pemuda... kenapa dihalau rahmat yang datang ? Kenapa dilenyapkan bayangnya dari pandanganmu? Setiap kali datangnya si fakir ini.....kenapa tidak hati kecilmu terdetik... " Ya Allah... sungguh! sudah lama aku menikmati rezeki yang Kau kurnia berseorangan aku.. sedangkan sebahagian kecil dari rezeki yang Kau beri kepadaku adalah kepunyaan yang lain....Layakkah aku menghalau si fakir ini sedangkan haknya belum aku tunaikan......?" 

Tidak akan miskin jika kau meletakkan tanganmu diatas... Tidak akan luak gembiramu jika kau ukirkan senyuman diwajahnya.. Jika Allah tidak menghantarnya didepanmu... apa mungkin kau keluar mencarinya untuk dititip sedekah... ? Jika begitu... kenapa dia dihalau...?










:: Cahaya Subuh....::



Kerana cahaya subuh itu bersembunyi..begitu menyesakkan hati yang hauskan hembusan dingin.. dia buta dalam melihat.. pekak dalam mendengar.. bisu dalam lafaz... segenggam kedinginan yang dipegang menghilang lagi.. hanya tinggal segumpal darah yang mati...  

Seakan kaki berat melangkah.. kerana cahaya subuh itu gelap kembali.. malap kerana tidak disinari cinta hakiki... hatinya bertukar kini.. pemilik yang abadi tidak lagi tertinggi... dia sibuk mencari cinta yang nantinya mati...

Bukankah hatinya pernah disinari cahaya subuh itu ? kerana pesona dunia, ianya terhenti.. perjalanan jauh segera diakhiri... bukankah dia seharusnya melangkah lagi? kenapa perlu berhenti....? 











Saturday, 14 December 2013

:: Kerana aku gadis kelubung hitam::



Tatkala impian sudah sergam terbina.. ketika itu juga realiti datang menghempas pelurunya...
 Tidak redhakah aku dianggap, jika aku membiarkan sedih ini bersarang dihati? Percayalah, telah aku cuba menyiram sinar mentari...
Namun tatkala itu juga hujan membasahi..

Setiap kalam dibibir sungguh mudah diungkapi..Namun sang diri yang menghadapi amat payah utk mengerti..Jika tidak kerana Sang Ilahi cinta hakiki..Nescaya kubiarkan hancurnya sebuah hati....

Kerana aku gadis kelubung hitam.....Nasihat nabiku ku jadikan pegangan...Kusimpan rapi hasrat dahulu..Kubutakan mata hadapi liku...Kuselitkan redha ketentuan atas setiap ujian..Demi mengharap sebuah pengampunan........ 









Thursday, 14 November 2013

:: Saya pada hakikatnya tidak sayangkan ibu dan ayah saya ! ::




Kita selalu melabel bahawa ayat :

 " jika dia betul-betul sayangkan kita, dia takkan sakitkan hati kita..'

adalah hanya untuk orang-orang berkapel dan bercinta. Cuba kata-kata itu dibalikkan kepada kita :



" jika kita betul-betul sayangkan ibubapa kita, kita takkan sakitkan mereka''

Fahamkan betul-betul.. "...TAKKAN SAKITKAN MEREKA..."

Definisi sayang ibu dan ayah tersangat luas ! Ada orang anggap bila dah selalu cium dan peluk ayah dan ibu sebelum tidur, dah dianggap kasih sayang sebenar. Ada juga yang anggap, sambut Mother's Day dan Father's Day dah menunaikan tanggungjawab seorang anak biarpun sambutan itu ditegah oleh agama. Ada juga yang merasa oleh kerana ibu dan ayahnya tak pernah marahkan dia, maka dia adalah orang yang paling sayangkan ibubapanya.... Tapi.... betul ke itu kasih sayang yang sebenar...?

Ayah saya selalu cakap, kalau sayang ummi dan ayah, bukan sekadar kata-manis dibibir. Bukan sekadar dengan selalu peluk cium ummi dan ayah... itu belum mencukupi syarat sayang yang sebenar-benarnya. ...SEBENAR-BENARNYA ! 
" Seorang anak, apabila dia benar-benar sayangkan ibu bapanya, dia akan jaga ALLAH dan RASUL di hatinya. Tak melakukan perkara yang ALLAH tak REDHA di belakang ibu dan ayah. Sebab seorang anak yang betul-betul sayangkan ibu bapanya akan mengerti bahawa, melakukan perkara yang tidak diredhai ALLAH , walaupun dibelakang ibu dan ayah.. sama dengan menempah neraka untuk ibu dan ayah... " :'(  -ayah saya-
Sanggupkah kita menghantar ibu dan bapa kita ke neraka? Anak yang sayangkan ibu dan ayah kah kita... ?

Kita cakap kita sayangkan ibu dan ayah, sedangkan kita tak jaga aurat, tak jaga pergaulan, tak jaga batas agama...Tiap-tiap hari keluar dating, jumpa yang tak halal untuk kita..Pakai pakaian yang membalut aurat(ketat). ...tapi setiap hari juga kita cakap kita sayangkan mereka, namun dalam masa yang sama kita menikam-nikam belakang mereka.. Sayangkah itu? Jika kita sudah ada kesedaran, walaupun ibu dan ayah tak pernah marahkan kita nak berpakaian macam mana. Mungkin kerana mereka belum punyai kesedaran agama.. Doakan mereka, sayangi mereka.. sayangi mereka....sayangi mereka..... sayangi mereka dengan menjaga ALLAH dan RASUL di hatimu.....

Sekarang, sama-sama pejamkan mata.. .....bayangkan wajah ibu dan ayah.... Tangan-tangan mereka yang membesarkan kita. Tangan-tangan mereka yang membelai kita.... Yang ada dikala kita terjatuh. Lupakah kita siapa yang balutkan luka masa kita kecil dulu? Lupakah kita siapa yang hiburkan kita waktu dulu? Bayangkan kenangan yang paling manis bersama ibu atau ayah....Tapi..dalam masa yang sama, sanggupkah kita menghantar mereka ke neraka kerana tingkah kita? 

:'(













:: Kejadian berdarah semasa exam ::




Sebenarnya exam untuk semester ni adalah exam yang saya rasakan terbaik bagi saya. 
Tiada apa yang mengganggu saya. Tiada gangguan daripada telefon, mesej...tiada langsung ! 
Betapa bahagianya saya rasa sekarang. :) Tumpuan sepenuhnya diberikan kepada exam. Semalam saya exam Balaghah 3 . Oleh kerana terlalu takut tak dapat jawab pada keesokan hari.. Saya ambil keputusan untuk langsung tak tidur pada malamnya. Semuanya diisi dengan membaca, buat latihan, hafalan.. perasaan indah tak terkira sebab sebelum ini saya bukan ulat buku. Waktu exam pun buat tak tahu je kat buku. Sibuk sangat melayan orang yang tak sepatutnya! Grrrr...  

Nak dijadikan cerita, exam pukul 9 pagi. So memang takda masa nak tidur langsung ! Ya, saya tahu itu bukan cara belajar yang elok.. Tapi hati memang terlalu lalu lalu takut ~ hi hi... badan letih, otak pun letih. Dalam dewan exam tu asyik teringat tilam dan bantal. Hanya Allah yang tahu betapa penatnya saya rasa. Fikiran saya hanya dipenuhi bait syair, takrif dan apa-apa yang berkaitan dengan balaghah. Semuanya balaghah.! Balik daripada exam, saya terus tidur. Tanpa sedar, saya terlajak , lebih kurang 20 minit sebelum asar barulah saya terjaga dan tersedar yang saya belum solat zohor ! Bergegas ke bilik air, ambil wudhuk....dan sewaktu angkat takbir....lama......saya tersedar...saya baca syair dalam solat !! Dan saya langsung tak tahu saya solat apa !! Ya Allah.. sampai macam tu skali penangan Balaghah....Semoga Allah ampunkan saya... ! hi hi

 Pagi ni paper Al-Bath Al-balaghi. Tadi tidur jugak 2 jam. Harap-harap kejadian berdarah ni berlaku sekali je.. Kali ni saya kena lebih fokus. haish :)





Saturday, 31 August 2013

:: Samaran Aeshah ::

Assalamualaikum....

Terkadang kehidupan ini tak dijangka... ketawa semalam,menangis hari ini.. semuanya tidak terduga.. ramai yang kata.. teruskan hidup... teruskan hidup..... namun... dimana harus kita cari titik mula? Blog ini tercipta sekadar luahan di kala tiada bahu yang ingin disandar... namun segalanya adalah sedikit perkongsian ttg hidup dan selebihnya mengadulah kepada Allah... :)